Thursday, March 31, 2011

Duit ratusan ribu ditemui di rumah pegawai kastam


'Datuk' disyaki terlibat ubah wang terlarang dan elak cukai berbilion ringgit


PUTRAJAYA: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui ratusan ribu ringgit wang tunai berselerakan ketika menyerbu rumah seorang pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bergelar 'Datuk' di Pahang, Isnin lalu, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengubahan wang terlarang dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit.

Pegawai kastam itu dan isterinya, yang juga pegawai kastam, disyaki terlibat dalam kegiatan yang turut membabitkan sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM di seluruh Malaysia.

Sindiket terancang itu dipercayai terbabit dalam pengisytiharan barangan import di bawah nilai sebenar cukai kastam, mengelak cukai pendapatan, pengubahan wang terlarang dan penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara dengan menggunakan pengurup wang serta perlakuan jenayah rasuah.

Sindiket itu dilumpuhkan oleh pasukan bertindak khas yang dianggotai KDRM, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta dua agensi lain dan diketuai SPRM.

Pasukan itu melancarkan operasi serentak besar-besaran pada 10 pagi Isnin lalu di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata berikutan itu, pihak berkuasa sudah membekukan lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan terbabit mengikut peruntukan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

'Kami menemui ratusan ribu ringgit berselerakan di rumah yang diduduki pasangan pegawai kanan kastam berkenaan dan mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pembersihan wang terlarang membabitkan lebih 100 premis yang diserbu kelmarin,' kata beliau dalam sidang media di sini kelmarin.

Datuk Mustafar berkata selain rumah pasangan itu, pasukan bertindak tersebut turut membuat serbuan terhadap 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis kastam di seluruh Malaysia.

Menurutnya, siasatan itu membabitkan kesalahan Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selain Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Datuk Mustafar berkata operasi tersebut khusus bagi mencegah kegiatan terlarang yang menyebabkan kerugian hasil cukai kerajaan berbilion ringgit kerana kegagalan mengutip cukai dan duti kastam, pendapatan tidak dilapor yang dihantar keluar negara tanpa kelulusan, pengisytiharan tidak betul barangan import dan penyeludupan wang keluar dari sempadan negara itu. -- BHM.


pss: masalah penyelewengan, rasuah, salahlaku etika ini tidak akan berkesudahan selagi mana pihak(kerajaan) yang mengepalai negara ini ''busuk''..




0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...