Sunday, January 9, 2011

Teoh Beng Hock: SPRM diketepikan, Suruhanjaya Diraja 'takeover'

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kemungkinan berlaku pencabulan hak asasi dalam proses soal siasat pembantu politik Teoh Beng Hock oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Mengumumkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam berkata kerajaan akan melantik ahli suruhanjaya yang terdiri daripada orang terbilang dan dihormati.

'Apa yang penting bagi kita ialah mengetahui perkara sebenar dan kerajaan mahu tahu perkara sebenar. Kita akan melakukan yang terbaik untuk mencari kebenaran,' kata Datuk Seri Najib pada sidang akhbar semalam.

Rabu lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian mendiang Teoh, yang merupakan setiausaha politik Encik Ean Yong Hian Wah, bukan disebabkan bunuh diri, pembunuhan atau penglibatan pihak ketiga.

Mendiang Teoh ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam, pada Julai 2009.


Inkues itu diadakan kerana kematian mendiang Teoh menimbulkan banyak persoalan khususnya memandangkan beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor.

Datuk Seri Najib berkata suruhanjaya itu akan 'meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunapakai' oleh SPRM.

Suruhanjaya itu akan mempunyai terma-terma rujukan khusus dan skopnya tidak akan dikembangkan untuk melihat punca yang membawa kepada kematian mendiang Teoh.

Pelantikan anggota suruhanjaya dijangka dibuat selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan, kata Datuk Seri Najib.

Sehubungan itu, beliau menarik perhatian, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ada memaklumkan bahawa beliau juga tidak berpuas hati dengan keputusan inkues berkenaan.

Oleh itu, Peguam Negara akan memfailkan permohonan semakan keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ini kali keempat kerajaan Malaysia membentuk Suruhanjaya Diraja sepanjang 20 tahun lalu.

Suruhanjaya Diraja biasanya ditubuhkan bagi menyiasat isu yang mempunyai kepentingan umum. - Agensi.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...