Perubahan iklim cabaran baru
IKLIM dan cuaca adalah fenomena semula jadi persekitaran yang banyak mempengaruhi pelbagai kegiatan dan aspek kehidupan penduduk kemarau berpanjangan, fenomena jerebu, kejadian banjir yang teruk, ribut kencang adalah fenomena-fenomena yang berkait dengan cuaca dan iklim dan membawa kesan yang besar kepada penduduk dan negara.
Persoalannya bagaimana keadaan iklim akan dipengaruhi pada dekad-dekad mendatang memandangkan iklim dunia semakin dipengaruhi oleh pembebasan gas-gas rumah hijau akibat pembakaran bahan api fosil dan kegiatan lain.
Apakah fenomena-fenomena ekstrem akan menjadi semakin serius dan kerap di rantau ini?
Kajian dan fakta
Menurut pakar kaji iklim Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Fredolin Tangang, kesimpulan penting dibuat dalam Laporan Penilaian ke-4 Intergovemmental Panel on Climate Change (IPCC) yang diterbitkan pada tahun 2007 menunjukkan bukti-bukti saintifik peningkatan suhu purata dunia sejak 50 tahun lalu adalah akibat dari peningkatan gas-gas rumah hijau terutama gas karbon dioksida (CO2) berpunca pembakaran bahan api fosil.
Menurut kajian Dr Fredolin yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I (Asas Saintifik) Panel antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim IPPC, peningkatan suhu pada kadar yang lebih tinggi di kebanyakan kawasan di Malaysia.
Fakta yang perlu diberi perhatian adalah peningkatan suhu purata dunia sejak 100 tahun lalu hanyalah sekitar 0.7 darjah celsius tetapi pelbagai perubahan dalam sistem fizikal, biologi, ekosistem bumi telah direkodkan di seluruh dunia. Peningkatan kejadian cuaca ekstrem masa lampau dikaitkan dengan peningkatan suhu ini.
Fakta yang tidak boleh diabaikan adalah di laporan yang sama, suhu purata dunia pada penghujung abad ini adalah antara 2 hingga 6 darjah celsius bergantung kepada senario pembebasan gas-gas rumah hijau.
Dr Fredolin berkata, peningkatan suhu setinggi beberapa darjah Celsius akan meletakkan bumi ke keadaan yang tidak pernah di alami sekurang-kurangnya sejak setengah juta tahun lalu.
Rumah hijau?
Katanya, bukanlah sesuatu yang sukar memahami bagaimana kepekatan gas-gas rumah hijau terutama karbon dioksida (CO2) memainkan peranan dalam sistem iklim dunia.
Kesan rumah hijau dikaitkan sebagai kesan di mana gas-gas rumah hijau yang membenarkan sebahagian besar sinaran matahari sampai ke permukaan bumi tetapi memerangkap pancaran radiasi yang dipancarkan semula oleh permukaan bumi.
Peningkatan kepekatan gas-gas rumah hijau di atmosfera meningkatkan kesan rumah hijau dan meningkatkan kandungan haba dalam sistem iklim dunia dan seterusnya menyebabkan peningkatan suhu dunia.
Secara semulajadi kepekatan CO2 di atmosfera dikawal oleh komponen sistem iklim itu sendiri seperti lautan dan biosfera.
Perubahan iklim : Manusiakah puncanya?
Bagaimanapun, sejak zaman industri bermula, manusia terbukti mampu meningkatkan kandungan gas-gas rumah dan merubah sistem iklim dunia pada jangka masa yang singkat berbanding perubahan yang disebabkan oleh faktor semulajadi.
Kepekatan terkini CO2 di atmosfera adalah sekitar 400 bahagian berjuta (ppm), meningkat melebihi 100 ppm sejak bermula era perindustrian.
Ini merupakan suatu nilai yang tinggi jika diambil kira julat kepekatan CO2 dalam tempoh sejak lebih dari setengah juta tahun lalu hanyalah antara 190 - 280 ppm.
Kajian berdasarkan teras ais (ice-core)yang diperolehi di Antartika mendapati sejak lebih dari setengah juta tahun lalu, bumi telah mengalami perubahan iklim semula jadi di mana ia mengalami tempoh glasial dan anti-glasial pada skala masa lebih kurang 100,000 sekali.
Perubahan semulajadi ini adalah disebabkan oleh perubahan orbit bumi mengelilingi matahari yang lebih dikenali sebagai kitaran Milankovitch.
Perubahan orbit ini mempengaruhi intensiti pancaran matahari sampai ke bumi.
Katanya, saintis juga dapat menganggarkan kepekatan C02 dan metana (CH4) berdasarkan udara yang terperangkap dalam buih-buih udara dalam sampel teras ais tersebut.
Kepekatan kedua-dua gas ternyata berubah secara sepadan dengan perubahan suhu tetapi hanya pada julat 190 - 280 ppm bagi C02 dan peningkatan dari nilai minimum ke nilai maksimum mengambil tempoh masa lebih kurang 50,000 tahun.
Bagaimanapun, dalam masa begitu singkat sahaja, kegiatan manusia telah meningkatkan kepekatan 400 ppm dari 280 ppm sebelum era perindustrian bermula, satu tahap kepekatan yang tidak pernah dialami bumi sejak setengah juta tahun lalu.
Dalam tempoh pertengahan abad ini dijangka kepekatan akan mencapai dua kali ganda kepekatan sebelum era perindustrian jika manusia sejagat tidak mengambil langkah-langkah mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau ke udara.
Beliau menerangkan bahawa kajian menunjukkan bahawa perubahan iklim yang dialami sejak 50 tahun lalu adalah akibat dari peningkatan kepekatan gas-gas rumah hijau ini.
Faktor semula jadi hanyalah sekitar 7.5 peratus berbanding faktor antropogenik berkaitan dengan peningkatan kepekatan gas-gas rumah hijau ini. Perubahan iklim adalah satu
Cabaran baru kepada kepada negara dan penyelidik tempatan perlu memahami dan menyelidik bagaimana dan sejauh mana perubahan iklim mendatangkan impak kepada negara pada dekad-dekad mendatang.
Sejauh mana sistem fizikal, biologik ekosistem, sumber-sumber semulajadi akan dipengaruhi. Usaha mengumpul dan mendapatkan maklumat berkaitan perubahan iklim ini perlu dilakukan secara bersepadu.
INFO RINGKAS
* Iklim secara mudahnya didefinisikan sebagai sebagai keadaan cuaca dalam satu-satu kawasan dan bergantung kepada kedudukannya di bumi.
* Gas rumah hijau merujuk kepada gas karbon dioksida, metana, nitrus oksida, ozon, sulfur hexafluorida, hidriflurokarbon (HFC) dan perfluorokarbon (PFC) dalam atmosfera bumi.
0 komen:
Post a Comment