Monday, December 20, 2010

Malaysia rancang bina dua loji kuasa nuklear

Antara rancangan jangka panjang untuk imbangi bekalan tenaga

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian, lapor sebuah agensi berita rasmi Malaysia.

Agensi berita Bernama semalam memetik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia, Datuk Seri Peter Chin, berkata Malaysia akan mengambil perunding cara antarabangsa untuk menilai lokasi dan keperluan membina loji tersebut.

Sementara itu, lebih banyak program kesedaran dan pendidikan akan dijalankan bagi memaklumkan kepada rakyat keperluan demikian.

'Diharapkan, menjelang 2013 atau 2014, kami akan dapat menyiapkan penilaian ini.

'Tentang penawaran tender, kami berharap ia dapat dilakukan menjelang 2016,' kata Datuk Seri Chin kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata Malaysia amat bergantung kepada gas dan arang batu bagi bekalan elektriknya kerana memang menjadi dasar kerajaan untuk mengurangkan penggantungan kepada bahan api fosil.

Gas menyumbang 64 peratus kepada penjanaan tenaga negara itu, manakala selebihnya disumbangkan oleh arang batu.

'Kita mesti mengelakkan ini. Ini amat tidak seimbang. Kita mahu hidro memainkan peranan utama kerana ia bersih tetapi ini hanya boleh dicapai di Sabah dan Sarawak yang ada banyak potensi, tetapi tidak di Semenanjung Malaysia,' jelasnya.

Selain daripada itu, menurut Datuk Seri Chin, sumber tenaga lain seperti biojisim dan angin terlalu sedikit, manakala tenaga suria merupakan potensi yang baik tetapi teknologinya masih terlalu mahal.

'Biojisim dan angin, terlalu sedikit. Melainkan dan hingga tenaga suria boleh diperbaharui menjadi cukup besar, tenaga begitu hanya menambah (kepada apa yang kami sedia ada) kerana kami tidak boleh menjana banyak tenaga (suria) disebabkan kosnya yang tinggi,' jelasnya lagi.

Datuk Seri Chin juga dipetik agensi berita Bernama sebagai berkata kerajaan Malaysia perlu ada pendekatan seimbang terhadap tenaga boleh diperbaharui kerana ia tidak mahu tarif meningkat disebabkan kos yang tinggi.

'Memanglah, semua orang mahukan tenaga boleh diperbaharui, tetapi kosnya? Bolehkah kita paksa orang menerima kenaikan tarif? Kita perlu kaji cara yang seimbang, itulah sebabnya kita tidak boleh bergantung kepada bahan api fosil semata-mata,' katanya.

Beliau berkata tenaga nuklear menjadi pilihan yang semakin penting dalam mengimbangi sumber tenaga disebabkan kos penyenggaraan dan tarifnya yang lebih rendah dalam jangka panjang.

lagi cerita..

2 komen:

Ony said...

bagus. tak bagus. byk pro & cons nye ni..... kalau natural resource dah abes, terpaksa la jawabnye. :)

Wan Mohd Firdaus bin Idris said...

di sebalik bagus dan tak bagus ialah perkara yang terselindung di sebalik perancangan loji nuklear ini.

1. tiada halangan dan suara bantahan,teguran,pandangan daripada kuasa2 besar barat. Dengan jelas membuktikan negara kita punya hubungan di bawah petunjuk Barat.

2. Bakal terjadinya gab yang besar diantara rakyat di negara ini sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah merapatkan dan memulihkan kos hidup yang semakin tinggi dan jurangnya yang semakin ketara..

3. padahnya ialah kita bakal merempat di negara sendiri dan terjadinya konfliks sosial, jenayah, dan ketegangan dari segi mental yang tidak terkawal..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...