Pesawat, kapal perang dan misil digunakan; China dan Russia tentang penggunaan kekerasan
TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat mengerahkan pesawat dan kapal perang semalam bagi menyerang tentera pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, dalam apa yang disifatkan sebagai campur tangan tentera Barat paling besar di dunia Arab sejak serangan Amerika di Iraq pada 2003.
Stesen televisyen Libya berkata semalam 48 orang terbunuh dan 150 cedera dalam serangan udara pihak Barat itu.
Ia juga berkata terdapat gelombang serangan baru ke atas Tripoli lewat semalam. Bagaimanapun, tiada sesiapa dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.
Stesen televisyen CBS News dalam laman semalam berkata tiga pesawat bomber Stealth B-2 Amerika menjatuhkan 40 butir bom ke atas sebuah 'lapangan terbang utama Libya' yang belum dapat dikenal pasti.
Seorang jurucakap Pentagon berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai serangan itu.
Pesawat-pesawat Perancis melancarkan serangan pertamanya dalam kempen untuk memaksa askaraskar Encik Gaddafi untuk menguatkuasakan gencatan senjata dan menghentikan serangan-serangannya terhadap orang awam.
Pesawat-pesawat itu memusnahkan beberapa kereta kebal dan kenderaan berperisai dekat Benghazi, kubu pihak pemberontak di timur Libya yang terdorong oleh beberapa pemberontakan di dunia Arab untuk melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan 41 tahun Encik Gaddafi bulan lalu.
Kenderaan-kenderaan tentera terbakar boleh dilihat di sepanjang jalan raya utama ke Benghazi semalam, sedang pihak pemberontak maju ke arah bandar strategik Ajdabiyah, yang hilang daripada genggaman mereka minggu lalu.
Sebanyak 14 mayat bergelimpangan di padang pasir berdekatan kenderaan-kenderaan itu.
'Ini semua perbuatan Perancis... Hari ini (semalam) kami berjaya ke sini dan melihat laluan terbuka,' kata seorang pemberontak, Encik Tahir Sassi.
Kapal perang dan kapal selam Amerika dan Britain melancarkan 110 misil Tomahawk sepanjang malam terhadap kubu pertahanan udara di keliling bandar Tripoli dan Misrata di barat Libya, yang dirampas tentera Encik Gaddafi, kata para pegawai tentera Amerika.
Mereka berkata askar dan pesawat Amerika sedang bekerjasama dengan Britain, Perancis, Canada dan Italy dalam operasi 'Odyssey Dawn' itu.
Denmark pula berkata empat pesawat pejuangnya bersedia menyertai tentera bersekutu itu dan sedang menanti arahan daripada Amerika.
Encik Gaddafi sebaliknya menyifatkan serangan-serangan itu sama seperti satu pengganasan.
Beliau berkata semua rakyat Libya kini sudah diberi senjata untuk mempertahan negara mereka dan kekalahan pihak Barat tidak dapat dielak.
'Kami tidak akan meninggalkan tanah air kami dan kami akan membebaskannya,' kata beliau semasa berucap di televisyen.
'Kami akan kekal hidup dan kami semua akan mati,' ujarnya.
Serangan-serangan itu, yang dilancarkan dari 25 kapal perang, termasuk tiga kapal selam Amerika di kawasan perairan Meditteranean, menyusuli satu mesyuarat di Paris di kalangan para pemimpin Barat dan Arab yang menyokong campur tangan itu, kelmarin.
Presiden Perancis, Encik Nicholas Sarkozy, berkata sekutu-sekutu itu bersetuju menggunakan 'apa saja wadah yang diperlukan, khususnya ketenteraan' untuk melaksana resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan serangan ke atas orang awam di Libya.
Di Beijing, China melahiran rasa kesalnya terhadap serangan tentera bersekutu itu sambil berkata dalam satu kenyataan kementerian luarnya bahawa ia menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
'China maklum perkembangan terbaru di Libya dan melahirkan rasa kesalnya terhadap serangan tentera di Libya,' kata kenyataan kementerian itu.
Russia turut mengeluarkan kenyataan serupa yang menggesa diadakan gencatan senjata secepat mungkin. -- Reuters, AFP.
0 komen:
Post a Comment