KOTA BHARU (Kelantan) : Lelaki Kelantan tidak perlu ke Thailand untuk berpoligami kerana urusan untuk 'beristeri lagi' di negeri ini sangat mudah jika mereka memenuhi syarat ditetapkan, kata Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad.
Datuk Daud berkata, lelaki yang membuat keputusan berkahwin di Thailand sebenarnya terpedaya dengan muslihat sindiket tanpa mengetahui Kelantan turut memudahkan proses poligami dilakukan.
'Mereka yang ingin berpoligami sebenarnya boleh datang ke mahkamah dan kami akan menyiasat adakah mereka mampu berbuat demikian, malah tidak timbul soal isteri pertama tidak membenarkannya.
'Individu seperti ini boleh datang terus ke mahkamah dan kami akan siasat.
'Soal isteri pertama yang tidak benarkan tidak timbul dan kami boleh meluluskannya jika cukup kriteria dikehendaki,' katanya ketika ditemui, kelmarin.
Bagaimanapun, Datuk Daud berkata isteri pertama tetap akan diberi notis untuk memberitahu yang suaminya akan berkahwin lain dan sama ada mereka bersetuju atau tidak mahkamah boleh meneruskan perkahwinan itu mengikut kaedah ditetapkan.
Beliau berkata ramai lelaki Kelantan tertipu dengan sindiket untuk berpoligami sehingga mereka mengalami kerugian beribu ringgit dan kemudian terpaksa membayar denda di mahkamah.
'Mungkin mereka sendiri cetek pengetahuan sedangkan kami sudah memberikan penerangan dan penjelasan tetapi masih ada yang terpengaruh dengan sindiket ini,' kata beliau.
Difahamkan, sindiket berkenaan membawa bakal pengantin melakukan urusan perkahwinan ke Pattani, Yala atau Narathiwat.
Terdapat juga sindiket yang mengahwinkan pasangan pengantin itu di negeri ini tetapi bertindak mengeluarkan surat nikah Thailand yang dipalsukan.
Ketika ditanya mengenai lelaki luar Kelantan yang ingin berpoligami di negeri ini, Datuk Daud berkata ia boleh dilakukan dengan syarat mereka perlu membawa surat kebenaran daripada mukim atau mahkamah. - BHM
0 komen:
Post a Comment