Saturday, December 11, 2010

Jangan tunggu esok lusa untuk bertaubat !

Bertaubat Daripada Dosa dan Jangan Tunggu Usia 
Tua atau Esok Hari..


Manusia dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan Islam sebagai cara hidup. Pengabdian kepada Allah meletakkan manusia sebagai hambaNya yang perlu sentiasa patuh kepada suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Nikmat iman adalah anugerah paling besar kepada manusia. Sesiapa yang menolak cahaya keimanan, dia tidak dapat kebaikan hidup didunia. 


Firman ALLAH SWT bermaksud ;
“Maka sesiapa yang memilih cara hidup selain Islam, Allah tidak sekali-kali menerima ( agamanya ) itu dan di akhirat dia termasuk kedalam golongan orang yang rugi”.  
( Surah Ali-Imran, ayat 85 )


Sesiapa yang menerima nikmat keimanan, peganglah sehingga keakhir hayat. Jangan menukar keimanan dengan kufur pada Allah. 


Firman ALLAH SWT bermaksud ;
“Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang ISLAM.” 
( Surah Ali-Imran, ayat 102 )


Namun sifat manusia tidak seperti melaikat yang tidak pernah melakukan selain perkara yang disuruh Allah. Dalam diri manusia ada akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan serta keburukan


Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan yang manusia lakukan. Allah mengetahui setiap perkara dilakukan hamba-Nya secara nyata atau bersembunyi. 

Tahap keimanan manusia diumpamakan sebagai ombak yang ada tinggi dan ada rendahnya. Keimanan berada pada tahap tertinggi apabila banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran dan begitulah sebaliknya. 

Begitulah status hamba, manusia bebas menentukan cara kehidupan yang diingini Allah memberi pilihan berdasarkan kehendak manusia dan sebab itulah manusia bakal menerima pembalasan atas apa yang dilakukan. 


Firman ALLAH SWT bermaksud ; 
“Dan kami menunjukkan kepadanya ( manusia ) dua jalan ( jalan kebaikan dan jalan kejahatan )”. 
( Surah Al-Balad, ayat 10 )

Setiap kebaikan digandakan nilai pembalasan antara 10 hingga 700 kali. Sedangkan sesiapa melakukan kejahatan hanya dibalas dengan satu pembalasan atau diampunkan. Sekali pun Allah tidak berhajat pertolongan daripada makhluk ciptaan-Nya.


Dia memberi pembalasan sebaik-baiknya terhadap hamba yang taat. Limpah rahmat yang diberikan tidak terkira banyaknya. Memandangkan manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, sedangkan Allah sudah menjanjikan kebaikan pada hari akhirat, maka diberi peluang untuk menghapuskan dosa itu dan jalan yang disebut adalah taubat.


Firman ALLAH SWT bermaksud ;
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri ( dengan perbuatan maksiat ), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. 
( Surah az zumar, ayat 53 )

Allah SWT menyebut mengenai sifat-Nya Maha Pengampun, bermaksud tidak ada satu pun dosa yang tidak diampunkan jika manusia memohon keampunan daripada-Nya.


Firman ALLAH SWT bermaksud ;
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, nescaya kamu beruntung”. 
( Surah an-nur, ayat 31 )

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa, paling baik selepas menyedari melakukkan dosa. Jika kesalahan itu membabitkan sesama kita, sesama manusia, keampunan perlu dimohon kepada orang yang terbabit. 

Ketika meminta maaf perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT atas kesedaran perbuatan itu adalah satu dosa dan menyesal atas perbuatan yang dilakukan, diharapkan perbuatan buruk itu tidak diulangi lagi selepas ini. Sebaliknya berusahalah melakukan kebaikan untuk semua. 
Taubat sebenar ialah menyedari kesalahan atau dosa diikuti penyesalan dan memohon keampunan Allah SWT. 

Seterusnya, menanam sifat benci kepada perbuatan itu dan terus meninggalkannya. Hasil taubat membawa diri melakukan perbuatan baik, taubat dipertahankan dengan sentiasa sedar dan waspada menjauhkan diri daripada kejahatan


Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, ia tertutup apabila ajal tiba, jangan berlengah-lengah untuk bertaubat dan ia perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya apabila usia lanjut. 

Syaitan sentiasa membisikkan manusia supaya melakukan dosa, menangguhkan taubat sehingga sampai keakhir hayat. Syaitan sedar, sebesar mana dosa dilakukan anak Adam dan kemudian bertaubat, Allah SWT tetap menerima taubat itu. 

Bagi memastikan misi syaitan meletakan manusia dalam neraka ialah dengan cara mengelak daripada bertaubat. Kerja jahat syaitan untuk menempatkan manusia bersamanya di neraka menjadi sia-sia jika manusia bertaubat. 


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ; 
“Sesungguhnya Allah SWT tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai dikerongkong ( hampir sangat dengan ajal)”.
( hadis riwayat Tirmizi )

Sebagai muslim yang yakin bertemu Allah diakhirat kelak, berusahalah meningkatkan takwa dan menghindarkan dosa supaya dihimpunkan bersama orang beriman diakhirat.


Sesungguhnya hidup ini tidak hanya berakhir didunia kerana akhirat kehidupan kekal abadi. 


pss: tiada jaminan untuk kita masih bernafas walaupun 5 minit selepas ini..


Link lagi..?

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...