Monday, November 15, 2010

Lebih dua juta jemaah banjiri Makkah

MAKKAH: Lebih dua juta jemaah haji, dengan berpakaian ihram serba putih, melakukan solat Jumaat di Masjidil Haram, Makkah, kelmarin, dua hari sebelum bermulanya ibadah rukun Islam kelima itu.
SOLAT JUMAAT: Ribuan jemaah membanjiri Masjidil Haram di Makkah, kelmarin, untuk mendirikan solat Jumaat, sempena musim haji tahun ini, yang dijangka menarik kedatangan tiga juta penganut Islam. - Foto REUTERS
Mereka mendengar dengan tekun khutbah yang disampaikan oleh imam masjid besar di Makkah itu, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais (gambar), selama 40 minit dan yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen Arab Saudi dan beberapa negara lain di rantau Arab, Afrika dan Asia.

Pada beberapa ketika semasa khutbah itu disampaikan, para jemaah dilihat mengalirkan air mata, sedang imam besar itu bercakap tentang masa-masa sukar yang dihadapi oleh umat Islam sejak akhir-akhir ini, lapor laman berita Arab News, semalam.

Sambil menggesa usaha ke arah pembebasan Palestin, Sheikh Al-Sudais berkata sudah tiba masanya puak-puak di Palestin melupakan perselisihan sesama mereka.

Perselisihan ini hanya menambahkan kesengsaraan saudara-saudara kita di Palestin.

Sekatan tidak berperikemanusiaan ini telah menyukarkan kehidupan mereka. Kini tiba masanya bagi negara-negara Islam menyatukan barisan mereka dan membebaskan rakyat Palestin daripada belenggu 'perhambaan' ini,' kata beliau.

Semua perbezaan di kalangan negaranegara serantau harus dan boleh diselesaikan dengan semangat Islam sebenarnya.

Contoh terbaik mengenai kesatuan ini ialah jemaah ini, yang menunjukkan setiap penganut Islam dari segenap pelosok disatukan dengan ikatan cinta kepada Nabi Muhammad saw dan Al-Quran,' tambahnya.

Sheikh Al-Sudais menyifatkan isu Palestin itu sebagai satu masalah paling besar yang dihadapi negara-negara Islam, menurut Arab News.

Setiap hari membawa satu bentuk kesengsaraan baru kepada mereka,' tegas beliau, dengan nada terharu dan titisan air mata.

Ya Allah, satukanlah semua negara Islam...,' doanya, disambut dengan teriakan 'Amin' daripada para jemaah.

Sambil berulang kali menekankan nilai perpaduan, Sheikh Al-Sudais berkata:

Perpecahan kita telah memberi kesempatan kepada musuh-musuh kita untuk mengeksploitasikan kita. Kita berpecah walaupun dalam satu keadaan jumlah yang besar. Perpaduan adalah kunci ke arah kesejahteraan kita. Mesej haji adalah perpaduan. Marilah kita sama-sama berdoa ke arah perpaduan umat Islam seluruh dunia.'

Imam besar itu juga menekankan perlunya masyarakat Islam menaruh harapan dan meyakini Allah setiap masa, khususnya semasa menghadapi kesusahan.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...