Monday, November 1, 2010

Tinggal di bekas kandang lembu selepas dihalau dari rumah sewa

DAIF: Cik Salma Mamat bersama empat daripada lapan anaknya di bangsal mereka di Kampung Pak Mali, kelmarin. - HARIAN METRO


BACHOK (Kelantan): Akibat kesempitan hidup, 12 beranak terpaksa bersesak dalam kandang lembu yang diubahsuai menjadi bangsal untuk mereka diami di Kampung Pak Mali, Bakong, dekat sini, sejak setahun lalu.

Walaupun hidup dalam keadaan sukar dan serba kekurangan, itu hakikat yang terpaksa dilalui keluarga Cik Salma Mamat, 36 tahun, dan suaminya, Encik Zakaria Abdullah, 42 tahun, selepas dihalau pemilik rumah sewa mereka di Pekan Gunong kerana tidak mampu membayar sewa.

Cik Salma berkata suaminya, seorang buruh, hanya mampu menyediakan makan minum ala kadar untuk keluarga.

'Kami tiada pilihan selain tinggal dalam bekas kandang lembu ini sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jika hujan lebat, tanah yang menjadi lantai rumah kami akan becak menyebabkan kami bertambah tidak selesa,' katanya.

Pasangan itu terpaksa bersesak-sesak dengan lapan anak berusia antara setahun setengah hingga 22 tahun, selain dua menantu iaitu isteri kepada anak sulung dan anak kedua mereka.

Menurut Cik Salma, hanya dua daripada anaknya bersekolah, kerana mereka tidak mampu menanggung persekolahan anak yang lain.

Walaupun anak sulung dan anak kedua sudah berkahwin serta bekerja, mereka terlalu miskin untuk membantu keluarganya.

'Malah, isteri mereka turut tinggal bersama kami. Ini menjadikan keadaan bangsal kami bertambah sesak. Dua anak lelaki saya hanya bekerja sebagai buruh dan mereka juga tidak mampu beli rumah,'' jelas beliau.

'Memang sukar bagi kami meneruskan kehidupan setiap hari. Kami hanya mampu menikmati nasi berlauk kangkung dan budu.

'Jika teringin sangat makan lauk ikan, anak saya akan mencarinya di sekitar bendang dan sungai berdekatan,' kata beliau. -- Harian Metro.

pss: ingatkah kita pada orang2 yang susah ketika kita masih senang..??

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...