Friday, November 26, 2010

BN nak ubah logo dacing

BN buat perubahan pada logo dacing untuk sertakan konsep '1 Malaysia'
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) melakukan perubahan kosmetik pada logo dacing yang digunakannya sejak 1970-an.
Kini, BN menyertakan lambang konsep '1 Malaysia' - dipercayai bagi memulihkan imej perikatan 13 komponen dalam parti itu selepas prestasi pilihan raya umum 2008 - pada logo tradisionalnya itu, lapor laman berita The Malaysian Insider (TMI), semalam.

Lambang dacing digunakan sejak BN ditubuhkan pada Jun 1974 bagi menggantikan Perikatan, yang menggunakan kapal layar pada pilihan raya 1959, 1964 dan 1969.

Perubahan kosmetik itu juga sebahagian daripada pindaan perlembagaan BN yang diluluskan Dewan Tertinggi BN, Sabtu lalu, kata TMI.
Difahamkan bahawa logo baru itu akan digunakan sebaik sahaja diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan - kemungkinan besar ketika pilihan raya umum ke-13 Malaysia, yang kini disebut-sebut bakal diadakan pada suku pertama tahun depan.

Kemungkinan juga, jika ia diluluskan sebelum pilihan raya negeri Sarawak, logo terbaru BN itu akan digunakan oleh cawangan negeri parti itu dalam pilihan raya Sarawak sebelum ia diperluas ke peringkat nasional.

Justeru, di bawah pindaan itu, difahamkan bahawa lambang dacing akan berwarna putih dan akan disertakan dengan lambang nombor 'satu' yang merujuk kepada konsep '1 Malaysia', kata TMI.

Lambang dacing akan bersertakan nombor satu dan huruf BN di tengah-tengah bagi menggambarkan 1 Malaysia,' kata sumber itu kepada laman berita tersebut.

Mengenai warnanya pula, kata sumber itu lagi, ia berlatarbelakangkan warna nilakandi bersama jalur merah, kuning dan biru di sisi kiri dan kanan logo tersebut.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, memperkenalkan konsep '1 Malaysia' sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri.
Logo BN sekarang diperkenalkan oleh bapanya iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

BN ditubuhkan bagi menggantikan Perikatan selepas pilihan raya umum 1969, yang menyaksikan ia mengalami prestasi buruk sebagaimana yang disaksikan pada pilihan raya umum ke-12 Malaysia dua tahun lalu.

pss: Bukan setakat tukar logo.. kalau tukar Kerajaan pun bagus sangat2..

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...