Tuesday, November 23, 2010

Pelajar tak pulang sejak lima hari

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu selepas dikatakan keluar ke kedai untuk membeli alat tulis bagi peperiksaan itu.

Fatin Farihah Nordin, 17 tahun (gambar), yang pernah meraih anugerah pelajar cemerlang Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai dekat sini, tahun lalu, keluar rumah 12 tengah hari Rabu lalu.

Ibunya, Cik Zatul Bazamah Zainal Abidin, 34 tahun, berkata anak sulung lima beradik itu keluar rumah sehelai sepinggang dan mengesyaki anaknya itu keluar bersama seorang lelaki.

Menurut beliau ketika beliau menghubungi telefon bimbit anaknya, pelajar itu memberitahu ada di Putrajaya bersama seorang rakan.

Ketika saya menelefonnya, dia beritahu ada di Putrajaya dan ke sana naik motosikal bersama rakan.

Apabila saya tanya sama ada rakan itu lelaki, dia terus matikan telefon dan sehingga kini tak dapat dihubungi,' katanya ketika mengunjungi Balai Berita di sini, kelmarin.

Cik Zatul berkata, beliau bimbang atas keselamatan Fatin Farihah kerana selepas empat hari, anaknya itu langsung tidak menghubunginya, apa lagi dia perlu pulang segera bagi menduduki SPM.

Beliau menambah, pihaknya sudah pun membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh, kelmarin. - BHM.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...