Friday, November 26, 2010

CHELSEA ku oh CHELSEA ku !!

Chelsea masih perlukan pemain matang agar mampu terus berjuang

APA yang gagal dilakukan dalam Liga Perdana England, berjaya dilaksanakan dalam Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Chelsea nampak terkial-kial untuk bangkit di depan para penyokong sendiri bagi mencatat kemenangan berharga 2-1 ke atas wakil Slovakia, MSK Zilina.

Kemenangan tipis itu juga sekali gus melegakan jurulatih, Carlo Ancelotti, yang turut dikaitkan dengan desas-desus bakal disingkir dari Stamford Bridge jika keputusan masih tidak memihak kepada kelab kepunyaan hartawan Russia itu.

Tentunya keadaan tidak begitu menyenangkan apabila juara Liga Perdana itu ketinggalan satu gol seawal minit ke-19 apabila Babatounde Bello meletakkan juara Slovakia di depan.

Pasukan tuan rumah pasti merasakan petaka bakal berulang apabila mereka ketinggalan dalam permainan separuh masa pertama, seperti ketika dibenam oleh Sunderland 3-0 di padang yang sama.
Bagaimanapun, keputusan Ancelotti membuat perubahan pertama dengan menurunkan Salomon Kalou dalam babak permainan separuh masa kedua, membawa ganjaran.

Ia mengubah tuah pasukan tuan rumah yang menguasai perlawanan, tetapi gagal menembusi pintu pertahanan lawan.
Sebaik Daniel Sturridge menyamakan kedudukan 1-1 selepas enam minit permainan separuh masa kedua, Didier Drogba, yang gagal menemui sasaran, akhirnya mampu menarik nafas lega.

Setidak-tidaknya mereka sudah memiliki modal satu mata.
Kehadiran penyerang Perancis, Nicolas Anelka, yang mengambil alih tempat Sturridge pada minit ke-74, seakan meningkatkan lagi keyakinan jentera serangan Chelsea.

Kerana itu, sebaik Florent Malouda menyumbang gol kemenangan ketika permainan berbaki empat minit lagi, Ancelotti, yang lebih dikenali sebagai jurulatih yang jarang-jarang kelihatan menyambut setiap gol pasukannya secara berlebih-lebihan, tidak dapat menyelindungkan kelegaannya.
Masakan tidak, keputusannya menampilkan barisan muda untuk menyekat Zilina hampir membawa padah apabila anak buahnya itu tidak mampu menyekat corak permainan menyerang pasukan pelawat.

Justeru, keputusannya menurunkan dua pemain berpengalaman seperti Kalou dan Anelka, dengan jelas membuktikan pasukannya masih memerlukan tenaga pemain yang lebih mantap untuk membantu menguasai perlawanan.

Tanpa tenaga pemain senior seperti Frank Lampard, Joe Cole, John Terry dan Michael Essien, kini sudah sah, kekuatan Chelsea boleh dipertikaikan lebih-lebih lagi selepas tumpas 0-3 kepada Sunderland disusuli tewas 0-1 kepada Birmingham.

Namun yang jelas, kejayaan memberangsangkan dalam kempen Liga Juara-Juara dan kejayaan menempah tempat ke peringkat kalah mati bukan sahaja melegakan, malah mampu membuat Chelsea memberikan tumpuan kepada perjuangan mereka dalam Liga Perdana pada hujung minggu ini.

Tentunya pertemuan dengan Newcastle nanti bakal menjadi detik penentuan kedudukan Ancelotti, mahupun Chelsea dalam mempertahan mahkota Liga.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...