Sunday, November 21, 2010

Malaysia 'port' untuk merompak??

Melancong ke Malaysia untuk merompak
PELANCONG PALSU: Empat rakyat asing ini ditahan ketika memecah masuk sebuah rumah di Ampang, Khamis lalu.
AMPANG: Sekumpulan empat orang warga Amerika Latin berasal dari Bolivia, Costa Rica dan Mexico, termasuk seorang wanita, dicekup selepas memecah masuk sebuah rumah pesara kerajaan di Jalan Chong Kong Lin 2, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Ampang, ACP Abd Jalil Hassan, berkata semua suspek berusia antara 25 dengan 45 tahun masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.

Mereka dicekup sekitar 10 malam, ketika memecah masuk rumah seorang pesara kerajaan yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha.

Ketika diserbu, wanita dan seorang lagi rakan lelakinya menunggu dalam sebuah kereta Proton Persona di luar pagar rumah mangsa, sementara dua lagi berada di dalam rumah itu.

'Mereka cuba melarikan diri dengan memecut kereta berkenaan sebaik diserbu. Namun, polis menahan mereka selepas kereta yang dipandu terbabas di bahu jalan berkenaan,' kata ACP Abd Jalil seperti ditukil akhbar Harian Metro semalam.

'Rakan mereka dalam rumah itu, yang menyedari kehadiran polis, se- gera melompat keluar lalu melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah itu,' tambah beliau.

Namun, kedua-duanya dapat ditahan.

ACP Abd Jalil berkata siasatan awal mendapati wanita dalam kumpulan itu ditugaskan memeriksa rumah yang hendak dipecah masuk dengan cara menekan loceng.

Jika rumah itu berpenghuni, pasti tiada siapa akan menyangka wanita berkenaan mempunyai niat jahat.

'Wanita itu sebaliknya akan bertindak mengugut mangsa dengan parang sebelum mengarahkan tiga rakan lain menggeledah rumah mangsa,' kata beliau.

Menurut ACP Abd Jalil, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 456 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga Peru berusia 57 tahun ditangkap orang ramai selepas cuba meragut beg tangan seorang wanita di sebuah restoran dekat stesen minyak berhampiran Hospital Ampang Puteri, Rabu lalu.

Suspek dikatakan pergi ke restoran itu sekitar 9.20 malam sebelum mendekati mangsa yang sedang makan bersama keluarganya.

Suspek membuat helah konon wang mangsa tercicir di atas lantai sebelum cuba meragut beg tangan mangsa.

Tetapi perbuatan suspek disedari orang ramai yang terus menangkap nya dan menyerahkannya kepada polis, kata beliau. -- Harian Metro.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...