Tuesday, November 30, 2010

John Terry, Frank Lampard, Michael Essien kembali..

NEWCASTLE (England): Carlo Ancelotti berharap dapat menggunakan semula tenaga tiga pemain utamanya dalam usaha membantu pasukan Chelsea merampas kembali tangga pertama pertandingan Liga Perdana England.
Carlo Ancelotti 
Selepas kedudukan mereka di persada diambil alih oleh Manchester United buat pertama kali sejak April, pengurus Chelsea itu mengakui bahawa pasukannya kini menghadapi tugas mencabar dalam usaha terus bersaing dalam pertandingan ini.

Dengan United membelasah Blackburn 7-1 untuk merampas tangga pertama pertandingan ini dan Chelsea pula sekadar seri 1-1 dengan Newcastle kelmarin, anak didik Ancelotti kini tercicir dua mata di belakang pasukan dari Old Trafford itu.
John Terry
Salomon Kalou menyamakan kedudukan 1-1 untuk pasukan dari Stamford Bridge itu selepas Andy Carroll membuka tirai jaringan bagi Newcastle pada minit keenam.

Walaupun Chelsea terus menguasai permainan, mereka gagal membuka peluang menjaringkan gol kemenangan.
Frank Lampard
Dengan keputusan tersebut, Chelsea kini hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhirnya dalam Liga Perdana England dan pengurus pasukan dari Italy itu mengakui bahawa pasukannya perlu melakukan sesuatu jika mereka mahu terus bersaing.

Chelsea amat merasai ketiadaan kapten pasukan John Terry dan Frank Lampard kerana masalah kecederaan di samping Michael Essien, yang digantung tiga perlawanan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain itu dijangka kembali membentuk kesebelasan utama Chelsea apabila pasukan itu menerima kunjungan Everton pada hujung minggu ini.

Pemain pertahanan, Alex, tidak lagi dapat membantu perjuangan Chelsea kerana beliau akan menjalani pembedahan lutut di Brazil.

Tetapi Ancelotti berharap kemunculan semula Terry dan Lampard akan membantu meningkatkan kembali keyakinan dalam pasukannya.
Michael Essien
Dalam perkembangan lain, Chelsea menangkis laporan yang menyebut pasukan itu berminat melamar jurulatih Barcelona, Pep Guardiola, untuk menggantikan tempat Ancelotti.

Mengulas laporan itu, Ancelotti berkata: 'Ini masa terbaik untuk memperlihatkan perwatakan pasukan Chelsea.

'Kedudukan kami ini barangkali boleh menjadi semacam pendorong bagi kami melakukan yang lebih baik lagi.

'Tentu sekali sebagai pengurus pasukan saya kecewa Chelsea tidak lagi berada di tangga pertama.

'Tetapi dalam empat perlawanan di padang lawan, kami hanya menjaringkan satu gol. Ia tidak cukup untuk memenangi perlawanan.' - Reuters.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...