Saturday, December 4, 2010

Jabatan Imigresen : Pulih imej dengan penambahbaikan..


PENAMBAHBAIKAN JABATAN IMIGRESEN MAMPU PULIH KEMBALI IMEJ


PENAMBAHBAIKAN sesebuah jabatan kerajaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan integriti kakitangan dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. 

Jabatan yang gagal menyediakan perkhidmatan terbaik akan menyebabkan ia hilang kepercayaan dan keyakinan awam. Apatah lagi jika pegawai dan kakitangan sesuatu jabatan itu begitu terdedah untuk dikaitkan dengan gejala rasuah, selain kelemahan melayan pelanggan dan mengendalikan kaunter awam. 

Kita percaya usaha merombak dan penambahbaikan dapat memastikan setiap jabatan terus kekal cemerlang. Pada masa sama, proses itu meningkatkan imej kerajaan pada kaca mata rakyat. Kita tidak menafikan, perbuatan segelintir pegawai dan kakitangan yang tidak amanah serta melanggar etika perkhidmatan menyebabkan nama baik kerajaan tercalar.

Begitu yang berlaku kepada Jabatan Imigresen baru-baru ini apabila beberapa kakitangannya dikesan bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk pendatang tanpa izin melalui pintu masuk utama negara, termasuk di Pulau Ketam. 

Disebabkan tawaran ganjaran lumayan, segelintir kakitangan menggadai ikrar tanggungjawab dan maruah sebagai penjawat awam, selain mengkhianati negara apabila sanggup bersubahat memberi laluan pendatang asing masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.

Sama ada dianggap proses biasa atau sebaliknya, rombakan kecil pada peringkat pegawai atasan, mahupun kakitangan pelbagai peringkat secara besar-besaran terpaksa dilakukan. Apapun, tujuan utamanya untuk mengembalikan maruah jabatan pada pandangan masyarakat. 

Sehubungan itu, bersempena Hari Imigresen Malaysia, kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memberi tempoh sebulan kepada Jabatan Imigresen untuk mengemukakan cadangan konkrit bagi meningkatkan semula imej jabatan itu. 

Kerangka cadangan itu bukan saja berkisar kepada meningkatkan integriti pasukan, malah lebih menyeluruh membabitkan kebajikan kira-kira 10,400 kakitangannya.Kita percaya masalah membelenggu kakitangan jabatan tidak saja berlegar kepada soal integriti, amanah, tanggungjawab, jati diri dan sebagainya. Ia sebenarnya merangkumi aspek kebajikan mereka sebagai penjawat awam.

Kerajaan perlu mengambil kira kebajikan mereka seperti kos sara hidup semasa, keperluan perumahan, elaun tertentu dan pergerakan gred serta kenaikan pangkat. Kita berharap dengan menjaga kebajikan kakitangan, pada masa sama, mutu produktiviti dan integriti turut meningkat. 

Kakitangan Jabatan Imigresen adalah barisan hadapan di pintu masuk utama negara. Merekalah yang akan menterjemahkan imej negara kepada orang asing sebaik menjejaki negara ini. Kita tentunya tidak mahu peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi menjadi sinonim dengan kakitangan jabatan. 

Namun, kita yakin sebahagian besar pegawai dan kakitangan imigresen tetap komited. Mereka memiliki komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas. Kita percaya Jabatan Imigresen mampu melakukan transformasi ini dan membawa perubahan dalam melaksanakan tugas dan amanah negara. 

Kita tidak sewajarnya melupakan kecemerlangan yang dicapai jabatan seperti membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dan kemasukan secara haram pendatang asing hanya disebabkan beberapa kejadian rasuah membabitkan kakitangannya.

sumber : Cuepac

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...